Menara masjid Masjid_Nabawi

Ketika zaman Rasulullah SAW dan Khulafa al-Rasyidin, Masjid Nabawi tidak memiliki sebarang bentuk menara. Orang yang pertama sekali membina menara Masjid Nabawi ialah Umar bin Abdul Aziz pada tahun 93 Hijrah, iaitu dengan mendirikan empat menara masjid yang tingginya lebih kurang 27.5 meter (90 ka) pada empat sudut.

Pembinaan menara Kemudian diikuti Qaitbay yang membangunkan menara kelima di Babur Rahmah. Kelima-lima menara Masjid Nabawi ini terus dipertahankan sehinggalah tiga buah menaranya diruntuhkan untuk memberi laluan kepada projek Perluasan Saudi Pertama. Kemudiannya tiga menara yang diruntuhkan telah diganti dengan dua buah menara baru setinggi 72 meter. Lalu pada Projek Perluasan Saudi Kedua ditambah lagi dengan 6 buah menara Masjid yang setiap satunya berketinggian 104 meter, tinggi hilal 6 meter dan beratnya mencecah 4.5 tan. Sehingga kini Masjid Nabawi mempunyai 10 buah menara masjid. Perlu juga diketahui bahawa tinggi menara Masjid utama ialah 44.53 meter, sedangkan menara di Pintu Salam (Babus Salam) adalah setinggi 38.85 meter.

Masjid al-Nabawi ketika matahari terbenam

Di dalam Masjid Nabawi terdapat satu kawasan yang digelar Raudhah, iaitu satu tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi. Selain menjadi lokasi Rasulullah SAW dan para sahabatnya beribadah dan tempat turunnya wahyu kepada baginda, ia juga merupakan taman syurga berdasarkan hadis Nabi.

“Ruang antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga. Dan mimbarku terletak di atas kolamku”

Kedudukan Raudhah adalah di antara rumah Rasulullah SAW dan Sayyidatina Aisyah RA dengan mimbarnya. Panjangnya ialah 26 meter jika diukur dari timur bermula dari rumah tersebut hingga ke mimbar di sebelah baratnya. Tetapi sekarang hanya tinggal 22 meter kerana telah disekat dengan pagar makam. Lebarnya pula 15 meter bermula dari Mihrab Rasulullah SAW di sebelah selatan hingga ke akhir rumah tersebut di sebelah utara mengikut pendapat yang masyhur di kalangan ulama’. Lingkungan kawasan ini dihampari dengan permaidani berwarna putih hijau sebagai penanda tempat.[2]